Tuesday, January 26, 2010

Waktu belajar di prasekolah ditambah jadi 4 jam



JOHOR BAHRU 4 Jan. – Kementerian Pelajaran berharap waktu pembelajaran di prasekolah selama empat jam sehari mulai sesi persekolahan tahun ini dapat menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada kanak-kanak.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, tambahan waktu pembelajaran itu berbanding dua hingga tiga jam sebelum ini dapat memastikan kanak-kanak mendapat pembelajaran yang secukupnya selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Dianggarkan kemasukan kanak-kanak berumur lima dan enam tahun di peringkat prasekolah adalah sebanyak 67 peratus ketika ini. Saya yakin, usaha kerajaan untuk meningkatkan penyertaan prasekolah kepada 87 peratus dalam tempoh tiga tahun dapat dicapai menerusi penambahan waktu ini,” katanya.
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Foon Yew 2, di sini, hari ini.
Beliau berkata, jadual pembelajaran selama empat jam itu sudah diamalkan di kebanyakan negara maju. – Bernama

No comments: