Tuesday, January 26, 2010

PRASEKOLAH DI RUMAH PANJANG


BINTULU 22 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran secara dasarnya bersetuju untuk mewujudkan kelas prasekolah di rumah-rumah panjang di Sarawak secara berperingkat tidak lama lagi.
Kata Timbalan Perdana Menteri, dengan membina bilik darjah di rumah panjang, ia akan memberi lebih banyak peluang kepada kanak-kanak berumur empat hingga lima tahun untuk belajar sebelum memasuki darjah satu.
Beliau berkata, selain itu, kementerian juga akan melatih penghuni rumah panjang yang berpelajaran supaya menjadi guru kepada murid-murid prasekolah tersebut.
"Sebagai permulaan, kita akan melaksanakannya secara berperingkat dalam masa terdekat ini kerana kita tidak tahu berapa banyak rumah panjang yang terdapat di Sarawak.
"Justeru, kita akan meminta kerjasama daripada kerajaan negeri serta Jabatan Pelajaran negeri untuk membuat tinjauan yang lebih dekat bagaimana kita hendak membangunkan program prasekolah di rumah-rumah panjang di Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menunaikan solat Jumaat dan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Masjid Assyakirin di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, pelaksanaan kelas prasekolah di rumah-rumah panjang adalah langkah yang baik dan amat sesuai berikutan faktor muka bumi di kawasan pedalaman.
Ujarnya, pelaksanaan kelas prasekolah itu juga akan membantu usaha kementeriannya untuk meningkatkan peratusan prasekolah yang merupakan salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Kementerian Pelajaran.
Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, ketika ini, sebanyak 300 buah bilik darjah baru di setiap sekolah di negara ini telah dikenal pasti untuk dijadikan kelas prasekolah.
"Sasaran kita untuk meningkatkan peratusan penyertaan murid-murid dalam kelas prasekolah daripada 67 peratus kepada 87 peratus dalam tempoh tiga tahun," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau bersetuju supaya cadangan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Balai dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Tambahnya, ia selaras dengan hasrat Kementerian Pelajaran supaya memberi keutamaan kepada usaha memperbaiki dan menaik taraf sekolah-sekolah yang usang dan kerap dilanda banjir di negara ini dalam RMK-10.

No comments: