Monday, February 8, 2010

Pendidikan perlu sesuai usia murid – BH 3/2/10


KUALA LUMPUR: Cadangan memperkenalkan kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun perlu dilihat secara menyeluruh terutama membabitkan sistem pendidikan prasekolah bagi memastikan pelajar tidak matang mendahului usia mereka. Pakar Perkembangan Pendidikan Kanak-kanak yang juga Penolong Profesor di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis, berkata cadangan itu boleh dilaksanakan dengan syarat sistem pendidikan pada usia enam tahun tidak terikat kepada akademik.
“Jika penekanan kepada penekanan akademik, cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan kerana ia menjejaskan daya tumpu dan perkembangan kanak-kanak. “Tetapi jika corak atau sistem pembelajaran yang dilaksana berasaskan pembelajaran menyeronokkan seperti play school yang dilaksanakan di beberapa negara maju, ia digalakkan. “Sistem demikian juga akan membantu perkembangan sosial, mental dan keyakinan diri kanak-kanak,” katanya, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin yang menyatakan tiba masanya negara melaksanakan langkah itu bagi membolehkan pelajar memasuki universiti serta pasaran kerja lebih awal. Dr Mastura mengambil contoh Sweden antara negara yang melaksanakan sistem persekolahan bermula usia tujuh tahun dan mempunyai kadar buta huruf terendah di Eropah.
“Di negara itu, ibu bapa tidak risau jika anak tidak tahu membaca atau menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) pada usia tujuh tahun (prasekolah) kerana yakin mereka akan menguasainya apabila memasuki alam persekolahan. “Kita tidak mahu sistem prasekolah di negara ini terlalu menekankan aspek 3M, hingga kanak-kanak membesar mendahului usia mereka dan cepat terbabit dalam gejala sosial,” katanya.
Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, bersetuju dengan cadangan itu kerana ia sudah dilaksanakan di banyak negara maju. Sementara itu, Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pendidikan Kemanusiaan, Dr Roselan Baki, berkata cadangan itu boleh dilaksanakan jika pendidikan prasekolah sedia ada diperkemaskan dan tidak meminggirkan pelajar luar bandar.
“Umur enam tahun bagi kanak-kanak adalah cukup ideal untuk memasuki alam persekolahan. Tiga tahun untuk pendidikan prasekolah iaitu pada usia empat, lima dan enam tahun adalah terlalu lama dan boleh menjemukan kanak-kanak. “Bagaimanapun, infrastrukturnya kena ada dulu, khususnya bagi kemudahan prasekolah di kawasan luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pendidikan Kemanusiaan, Dr Roselan Baki, berkata cadangan itu boleh dilaksanakan sekiranya aspek pendidikan prasekolah sedia ada diperkemaskan dan tidak meminggirkan pelajar luar bandar. Katanya, ketika ini, hanya pelajar bandar menikmati kemudahan prasekolah. Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, juga setuju kerana seiring dengan hasrat kerajaan melahirkan modal insan yang cemerlang. “Kemasukan kanak-kanak ke Tahun Satu pada usia enam tahun sudah lama dipraktikkan di negara maju seperti di Korea dan Eropah jadi ia bukanlah satu perkara yang sukar untuk dilaksanakan,” katanya.

No comments: