Monday, February 8, 2010

Pendidikan perlu sesuai usia murid – BH 3/2/10


KUALA LUMPUR: Cadangan memperkenalkan kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun perlu dilihat secara menyeluruh terutama membabitkan sistem pendidikan prasekolah bagi memastikan pelajar tidak matang mendahului usia mereka. Pakar Perkembangan Pendidikan Kanak-kanak yang juga Penolong Profesor di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis, berkata cadangan itu boleh dilaksanakan dengan syarat sistem pendidikan pada usia enam tahun tidak terikat kepada akademik.
“Jika penekanan kepada penekanan akademik, cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan kerana ia menjejaskan daya tumpu dan perkembangan kanak-kanak. “Tetapi jika corak atau sistem pembelajaran yang dilaksana berasaskan pembelajaran menyeronokkan seperti play school yang dilaksanakan di beberapa negara maju, ia digalakkan. “Sistem demikian juga akan membantu perkembangan sosial, mental dan keyakinan diri kanak-kanak,” katanya, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin yang menyatakan tiba masanya negara melaksanakan langkah itu bagi membolehkan pelajar memasuki universiti serta pasaran kerja lebih awal. Dr Mastura mengambil contoh Sweden antara negara yang melaksanakan sistem persekolahan bermula usia tujuh tahun dan mempunyai kadar buta huruf terendah di Eropah.
“Di negara itu, ibu bapa tidak risau jika anak tidak tahu membaca atau menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) pada usia tujuh tahun (prasekolah) kerana yakin mereka akan menguasainya apabila memasuki alam persekolahan. “Kita tidak mahu sistem prasekolah di negara ini terlalu menekankan aspek 3M, hingga kanak-kanak membesar mendahului usia mereka dan cepat terbabit dalam gejala sosial,” katanya.
Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, bersetuju dengan cadangan itu kerana ia sudah dilaksanakan di banyak negara maju. Sementara itu, Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pendidikan Kemanusiaan, Dr Roselan Baki, berkata cadangan itu boleh dilaksanakan jika pendidikan prasekolah sedia ada diperkemaskan dan tidak meminggirkan pelajar luar bandar.
“Umur enam tahun bagi kanak-kanak adalah cukup ideal untuk memasuki alam persekolahan. Tiga tahun untuk pendidikan prasekolah iaitu pada usia empat, lima dan enam tahun adalah terlalu lama dan boleh menjemukan kanak-kanak. “Bagaimanapun, infrastrukturnya kena ada dulu, khususnya bagi kemudahan prasekolah di kawasan luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pendidikan Kemanusiaan, Dr Roselan Baki, berkata cadangan itu boleh dilaksanakan sekiranya aspek pendidikan prasekolah sedia ada diperkemaskan dan tidak meminggirkan pelajar luar bandar. Katanya, ketika ini, hanya pelajar bandar menikmati kemudahan prasekolah. Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, juga setuju kerana seiring dengan hasrat kerajaan melahirkan modal insan yang cemerlang. “Kemasukan kanak-kanak ke Tahun Satu pada usia enam tahun sudah lama dipraktikkan di negara maju seperti di Korea dan Eropah jadi ia bukanlah satu perkara yang sukar untuk dilaksanakan,” katanya.

Geran khas untuk pusat pendidikan prasekolah – BH 3/2/10

KODIANG: Kerajaan akan melancarkan geran khas selain bantuan latihan guru kepada pihak yang berhasrat membuka pusat pendidikan prasekolah di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, ia sebagai galakan menambah lebih banyak pusat pra sekolah di negara demi kemudahan rakyat. "Butiran geran itu akan diumumkan kelak," katanya ketika berucap pada majlis pertemuan bersama warga pendidik daerah Kubang Pasu di SMK Tengku Bendahara, di sini.

Tuesday, February 2, 2010

Usia 6 tahun mulakan alam persekolahan dikaji – BH 02/02/10




KUALA LUMPUR: Kerajaan berpendapat sudah tiba masanya KPM memperkenalkan kemasukan ke Tahun 1 pada usia 6 tahun, berbanding 7 tahun ketika ini. Sambil menjelaskan banyak negara maju melaksanakannya, termasuk di rantau ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu akan membolehkan pelajar memasuki universiti serta pasaran kerja setahun lebih awal.
“Tambahan pula, sebahagian besar kanak-kanak sudah mengikuti pembelajaran peringkat prasekolah. “Kita sedang mengkajinya. Perkara ini perlu diteliti kerana ada implikasinya. Kita tidak boleh putuskan secara terburu-buru atau dilaksanakan mendadak kerana kapasiti sekolah untuk menampung 500,000 pelajar baru setiap tahun akan menjadi beban.
“Namun, secara dasarnya, saya fikir sudah sampai waktu (untuk memulakan persekolahan pada usia 6 tahun). Saya mahu buka kepada pandangan masyarakat sama ada mereka bersetuju supaya masuk Tahun Satu ketika umur 6 tahun.
“Saya sudah bincang pada peringkat kementerian dan dapatkan input pelbagai pihak seperti pakar pendidikan, pakar psikologi kanak-kanak dan juga (meneliti) dari segi sejarah pembangunan prasekolah.
“Sekiranya kita boleh buat begitu dengan kurikulum sedia ada, kemungkinan besar kita boleh laksanakan,” katanya dalam rancangan Soal Jawab di stesen televisyen TV3, malam tadi yang dihoskan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa TV7, TV8, TV9 dan Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Datuk Manja Ismail. Menteri Pelajaran itu berkata, beliau juga sedang mempertimbangkan secara serius cadangan mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran BI dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau berkata, ia selaras dengan langkah KPM menambah baik pengajaran dan pembelajaran BI yang sudah dilaksanakan. “Saya pernah sarankan dulu apakah mungkin sudah sampai masa kita mewajibkan lulus Bahasa Inggeris (dalam SPM) supaya pelajar memberi tumpuan lebih.
“Takkanlah jika sudah belajar dari Tahun 1 sehingga Tingkatan 5, pada peringkat SPM tidak boleh lulus... bukan kita hendak minta kredit. Perkara ini saya sedang memikirkan secara serius. Bila akan laksanakan kita akan ambil kira,” katanya.
Muhyiddin juga menegaskan pada peringkat membuat keputusan nanti, beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu halangan, terutama untuk pelajar Melayu mendapat sijil penuh SPM hanya kerana gagal dalam mata pelajaran BI.
Beliau berkata, pelbagai langkah dilakukan untuk mempertingkat pengajaran dan pembelajaran BI di sekolah seluruh negara, termasuk pengambilan 15 guru dari luar negara yang akan berperanan sebagai jurulatih. Selain itu, KPM dalam proses mengambil lebih 360 penutur jati dari luar negara, termasuk United Kingdom dan New Zealand, sebagai ‘master teacher’ untuk mengajar dan memantau guru BI di sekolah. “Waktu pembelajaran subjek BI di sekolah juga ditambah,” katanya.