Tuesday, January 26, 2010

Waktu belajar di prasekolah ditambah jadi 4 jam



JOHOR BAHRU 4 Jan. – Kementerian Pelajaran berharap waktu pembelajaran di prasekolah selama empat jam sehari mulai sesi persekolahan tahun ini dapat menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada kanak-kanak.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, tambahan waktu pembelajaran itu berbanding dua hingga tiga jam sebelum ini dapat memastikan kanak-kanak mendapat pembelajaran yang secukupnya selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Dianggarkan kemasukan kanak-kanak berumur lima dan enam tahun di peringkat prasekolah adalah sebanyak 67 peratus ketika ini. Saya yakin, usaha kerajaan untuk meningkatkan penyertaan prasekolah kepada 87 peratus dalam tempoh tiga tahun dapat dicapai menerusi penambahan waktu ini,” katanya.
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Foon Yew 2, di sini, hari ini.
Beliau berkata, jadual pembelajaran selama empat jam itu sudah diamalkan di kebanyakan negara maju. – Bernama

PRASEKOLAH DI RUMAH PANJANG


BINTULU 22 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran secara dasarnya bersetuju untuk mewujudkan kelas prasekolah di rumah-rumah panjang di Sarawak secara berperingkat tidak lama lagi.
Kata Timbalan Perdana Menteri, dengan membina bilik darjah di rumah panjang, ia akan memberi lebih banyak peluang kepada kanak-kanak berumur empat hingga lima tahun untuk belajar sebelum memasuki darjah satu.
Beliau berkata, selain itu, kementerian juga akan melatih penghuni rumah panjang yang berpelajaran supaya menjadi guru kepada murid-murid prasekolah tersebut.
"Sebagai permulaan, kita akan melaksanakannya secara berperingkat dalam masa terdekat ini kerana kita tidak tahu berapa banyak rumah panjang yang terdapat di Sarawak.
"Justeru, kita akan meminta kerjasama daripada kerajaan negeri serta Jabatan Pelajaran negeri untuk membuat tinjauan yang lebih dekat bagaimana kita hendak membangunkan program prasekolah di rumah-rumah panjang di Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menunaikan solat Jumaat dan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Masjid Assyakirin di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, pelaksanaan kelas prasekolah di rumah-rumah panjang adalah langkah yang baik dan amat sesuai berikutan faktor muka bumi di kawasan pedalaman.
Ujarnya, pelaksanaan kelas prasekolah itu juga akan membantu usaha kementeriannya untuk meningkatkan peratusan prasekolah yang merupakan salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Kementerian Pelajaran.
Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, ketika ini, sebanyak 300 buah bilik darjah baru di setiap sekolah di negara ini telah dikenal pasti untuk dijadikan kelas prasekolah.
"Sasaran kita untuk meningkatkan peratusan penyertaan murid-murid dalam kelas prasekolah daripada 67 peratus kepada 87 peratus dalam tempoh tiga tahun," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau bersetuju supaya cadangan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Balai dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Tambahnya, ia selaras dengan hasrat Kementerian Pelajaran supaya memberi keutamaan kepada usaha memperbaiki dan menaik taraf sekolah-sekolah yang usang dan kerap dilanda banjir di negara ini dalam RMK-10.

Monday, January 25, 2010

SUB NKRA - Prasekolah


Di bawah sub NKRA Prasekolah sebanyak 1468 buah kelas prasekolah lagi akan di buka di bawah KPM. Pecahan mengikut tahun adalah seperti berikut :
2010 - 315 kelas
2011 - 705 kelas
2012 - 448 kelas
Dijangkakan pada 2012 sebanyak 8664 buah kelas prasekolah beroperasi di bawah KPM.

-Sumber BPSH, KPM

Objektif KSPK




Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan menyediakan peluang kepada kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun untuk mencapai objektif dalam aspek jasmani, emosi, sosial, intelek dan rohani seperti berikut :
1- Membina kecergasan badan.
2- Mempunyai tubuh badan yang sihat.
3- Mempraktikkan amalan kesihatan yang baik.
4- Mempraktikkan langkah-langkah menjaga keselamatan diri.
5- Menguasai kemahiran motor halus dan asas motor kasar.
6- Mempunyai kematangan emosi.
7- Mempunyai konsep kendiri yang positif dan jati diri.
8- Berani menyuarakan pandangan dan perasaan.
9- Berkebolehan berinteraksi dengan orang lain
10- Boleh bekerja secara bersendirian dan juga bekerja secara berkumpulan.
11- Menghormati perasaan serta hak orang lain dan seterusnya membentuk perhubungan yang positif dengan orang dewasa dan rakan sebaya.
12- Mengamalkan nilai-nilai murni.
13- Mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama Islam.
14- Berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan bahasa penghantar dalam konteks kehidupan harian.
15- Meneroka persekitaran menggunakan kemahiran proses sains asas.
16- Menggunakan kemahiran matematik asas dalam menjalankan tugasan harian dan menyelesaikan masalah.
17- Menggunakan kemahiran berfikir kritis, kreatif dan inovatif dalampembelajaran dan kehidupan seharian.
18- Mengembangkan daya kreatif dan estetika.
19- Menghargai keindahan alam dan warisan budaya.

Matlamat KSPK


Pendidikan prasekolah bertujuan memeperkembangkan potensi kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran pembelajaran yang selamat, menyuburkan serta aktiviti yangmenyeronokkan, kreatif dan bermakna.
Ini adalah untuk meningkatkan kemahiran, menanam keyakinan dan membentuk konsep kendiri yang positif pada diri kanak-kanak agar mereka berjaya dalam persekitaran sedia ada dan bersedia untuk menangani cabaran dan tanggungjawab di sekolah rendah kelak.

Wednesday, January 13, 2010

Tunjang Dalam KSPK








TUNJANG PEMBELAJARAN :
Tunjang Komunikasi
Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai
Tunjang Kemanusiaan
Tunjang Sains dan Teknologi
Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika
Tunjang Ketrampilan Diri
Penekanan dalam Kurikulum Standard ini adalah supaya murid-murid prasekolah dapat menguasai 4M bukan lagi 3M:
Membaca
Menulis
Mengira
Menaakul

KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH KEBANGSAAN (KSPK)


REKABENTUK KURIKULUM
Ciri utama Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan:
1. Kurikulum berasaskan standard
2. Kurikulum berbentuk modular
Kurikulum Berasaskan Standard
Tujuannya adalah untuk ekuiti dan kualiti. Di mana ekuiti bermaksud semua murid diberi pendidikan yang sama dan kualiti merujuk kepada bahawa semua murid perlu diberi pendidikan yang berkualiti. Standard Kandungan merupakan pernyataan spesifik tentang perkara yang patut murid tahu dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan. Ia merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Standard Pembelajaran pula merupakan satu penetapan kriteria @ indikator pencapaian dalam bentuk objektif tingkahlaku (behavioural) untuk memastikan pencapaian setiap standard kandungan.
Kurikulum Berbentuk Modular
Merupakan satu kurikulum yang kandungannya diorganisasikan dan seterusnya disampaikan dalam bentuk bahagian atau unit (dinamakan modul). 2 jenis modul diwujudkan iaitu:
1. Modul Asas - terdiri dari komponen bahasa (BM/BI/BC/BT), Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Permainan Luar dan Matematik.
2.Modul Bertema - iaitu modul bersepadu yang merangkumi unsur-unsur dalam keenam-enam Tunjang dan juga unsur kreatif, kritis dan inovatif. (modul ini dibina menggunakan isu kehidupan seharian kanak-kanak)

Tuesday, January 12, 2010

SENARAI TUGAS UTAMA GURU PRASEKOLAH KPM


Bertanggungjawab Kepada Guru Besar, Guru Penolong Kanan, Guru Penolong Kanan HEM, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Guru Panitia Dalam Membantu Merancang, Menyelaras, Melaksana Dan Mengambil Tindakan Susulan Ke Atas Perkara-Perkara Berikut:

a. Pengurusan Kurikulum Prasekolah
b. Pengurusan Kokurikulum
c. Pengurusan Murid
d. Pengurusan Prasarana
e. Pengurusan Kewangan
f. Penurusan Pembantu Pengurusan Murid
g. Pengurusan Kewangan

Penggubalan Dasar Pendidikan Awal


Oleh HELMI MOHD. FOAD
PUTRAJAYA 25 April - Kerajaan akan menggubal dasar pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak yang komprehensif seperti mana dilaksanakan oleh program Pusat Permata Negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dasar itu membolehkan semua pusat asuhan kanak-kanak berusia bawah lima tahun yang dikendalikan beberapa kementerian diselaraskan dari segi kurikulum dan piawainya.
Sehubungan itu, kata beliau, satu kertas kerja dasar akan dikemukakan kepada Kabinet untuk diluluskan bagi membolehkan program Permata Negara diperluaskan ke seluruh negara.
''Pendidikan awal kanak-kanak adalah tunjang kepada usaha membentuk modal insan berkualiti dan mencegah masalah sosial, justeru tumpuan kepada pendidikan awal mereka merupakan strategi yang boleh memberikan impak besar bagi jangka pendek dan jangka panjang.
''Permata Negara juga telah memberikan kesan yang amat memberangsangkan di samping mendapat sambutan baik ibu bapa dan masyarakat," katanya.
Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Penyelarasan Dasar Permata Negara di sini hari ini.
Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata Negara.
Setakat ini, sebanyak 13 Pusat Permata Negara dilaksanakan secara projek perintis di seluruh negara membabitkan 331 anak yang diasuh menggunakan kaedah dan kurikulum Permata.
Program tersebut menekankan perkembangan individu yang berkeyakinan tinggi, kreatif, bijaksana, berakhlak mulia serta mempunyai minda cerdas yang seterusnya membantu dalam pembinaan modal insan berminda kelas pertama.
Kurikulum Permata Negara dihasilkan melalui kajian yang dilakukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menurut Najib, mesyuarat hari ini telah mendapat persetujuan Kementerian Pelajaran; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan dan Kesenian dan Warisan supaya program pengasuhan kanak-kanak diselaraskan.
''Dalam erti kata lain, mereka akan mengguna pakai kurikulum dan piawaian Permata Negara di taska-taska mereka manakala kelulusan guru-guru mereka akan ditingkatkan sehingga ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Monday, January 11, 2010

Jawatankuasa Prasekolah.

Jawatankuasa hendaklah ditubuhkan di peringkat sekolah dengan keanggotaan berikut:
i. Guru Besar - Pengerusi
ii.Guru Penolong Kanan
iii.Guru Prasekolah
iv.Guru kanan matapelajaran
v. Pembantu guru
vi.Wakil PIBG

Peruntukan Kewangan Bagi Murid Prasekolah



5.1 Bantuan perkapita (LPBT) akan diberi pada kadar RM 100.00 ( Ringgit Malaysia : Seratus sahaja ) bagi setiap kanak-kanak setahun.
Rujuk Surat Pekeliling kewangan Bil. 5 Tahun 2002 – Lampiran B – perkara A dan Lampiran C – Jadual 1
5.2 Penggunaan wang perkapita adalah untuk pengurusan dan pentadbiran hal-hal berkaitan pembelajaran prasekolah sahaja.
5.3 Pembelian peralatan kecil dan bahan habis guna bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran
5.4 Penyelenggaraan peralatan permainan dalam dan luar bilik darjah serta penyelenggaraan komputer dan lain-lain peralatan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran
5.5 Pembelian buku rujukan, ensiklopedia, perisian, video tape /CD dan lain-lain yang bersesuaian untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran
5.6 Program lawatan berunsurkan pendidikan yang boleh memberi pengukuhan kepada proses pengajaran dan pembelajaran sama ada semasa cuti persekolahan atau hari persekolahan
5.7 Perolehan harta modal adalah tidak dibenarkan
5.8 Menguruskan peruntukan tambahan bagi aktiviti prasekolah mengikut aturan dan peratuan kewangan
5.9 Sumber tambahan : boleh menggunakan mana- mana wang peruntukan bantuan lain/suwa sekolah untuk keperluan kelas prasekolah jika perlu.
5.10 Tiada yuran dikenakan ke atas murid prasekolah.

Makanan Murid Prasekolah

4.1 Makanan hendaklah disediakan oleh sekolah di atas kadar RM 1.50 sehari bagi setiap murid. Rujuk Pekeliling Kewangan Bil.6 Tahun 2002 : Perkara 3.1
4.2 Tuntutan hendaklah dibuat sekali setahun sebagaimana yang telah ditetapkan.
4.3 Menguruskan peruntukan pembelian makanan tambahan /bekalan bahan –bahan makanan dan minuman mengikut tatacara kewangan yang ditetapkan
4.4 Makanan mestilah seimbang dan mengikut menu.
4.5 Minuman yang mengandungi bahan pewarna adalah dilarang.

Pakaian Murid Prasekolah KPM

Pakaian seragam adalah dicadangkan seperti berikut :

3.1 Baju T berkolar – pilihan warna mengikut keputusan Jawatankuasa daerah.
3.2 Seluar / blouse – warna biru gelap.
3.3 Kasut / sarung kaki – warna putih.

3.4 Pakaian Sukan yang sesuai

Pakaian Murid Prasekolah KPM


Pakaian seragam adalah dicadangkan seperti berikut :
3.1 Baju T berkolar – pilihan warna mengikut keputusan Jawatankuasa daerah.
3.2 Seluar / blouse – warna biru gelap.
3.3 Kasut / sarung kaki – warna putih.
3.4 Pakaian Sukan yang sesuai

Waktu Pembelajaran Murid Prasekolah KPM

Waktu belajar adalah tidak kurang daripada 4 jam termasuk waktu rehat.
( 8.00 – 12.00 t/hari atau 8.30 hingga 12.30 t/hari )
Rujuk Pekeliling Iktisas Bil 15/2002
Tadika yang bahasa pengantarnya adalah Bahasa kebangsaan pengajaran Bahasa Inggeris hendaklah diadakan sekurang-kurangnya dua (2) jam seminggu
Tadika yang bahasa pengantarnya adalah Bahasa Inggeris atau Bahasa Cina atau Bahasa Tamil pengajaran Bahasa Kebangsaan hendaklah diadakan sekurang-kurangnya dua (2) jam seminggu
Tadika yang bahasa pengantarnya adalah Bahasa Cina atau Bahasa Tamil pengajaran Bahasa Inggeris hendaklah diadakan sekurang-kurangnya satu (1) jam semingguPengajaran Pendidikan Islam hendaklah diadakan bagi tadika yang mempunyai lima (5) orang atau lebih murid beragama Islam dan Pengajaran Moral bagi tadika yang mempunyai lima (5) orang atau lebih murid bukan beragama Islam sekurang-kurangnya dua (2) jam seminggu

Kriteria Pemilihan Kanak-kanak ke kelas Prasekolah KPM.


Kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke atas, (contoh: Kanak-kanak yang dilahirkan dalam tahun 2004 bagi kemasukkan Tahun 2010)
Keutamaan pemilihan hendaklah diberikan kepada kanak-kanak yang pendapatan ibubapa/penjaga seperti berikut :-

i. RM 350.00 ke bawah
ii. RM 351.00 hingga RM 500.00
iii. RM 501.00 hingga RM 750.00
iv. RM 751.00 hingga RM 1,000.00
v. RM 1,000.00 dan ke atas.

Selain daripada pendapatan, tanggungan ( keramaian anak ) hendaklah juga diambil kira.
Ibubapa/penjaga hendaklah memenuhi borang permohonan ‘Lampiran E’ sebagaimana contoh berkepil. ( Borang ini hendaklah disimpan di sekolah )
Pemilihan hendaklah dibuat oleh Jawatankuasa Prasekolah yang terdiri daripada :

i. Guru Besar
ii. Guru Penolong Kanan
iii. Guru Prasekolah
iv. Wakil PIBG
v. Wakil PPD

Bilangan kanak-kanak adalah di antara 15 hingga 25 orang.
Sila ambil ingatan : Kanak-kanak yang diterima hendaklah tidak melebihi 25 orang.
Senarai murid yang terpilih untuk kemasukkan kelas prasekolah hendaklah dihantar PPD untuk kelulusan.
Mengeluarkan surat tawaran penerimaan kepada penjaga murid yang terlibat dan pengesahan penerimaan tawaran kemasukkan ke sekolah.

Thursday, January 7, 2010

Guru berijazah mengajar di prasekolah - Muhyiddin




KUALA LUMPUR 2 Nov . — Guru lulusan ijazah akan diambil bagi menjadi pendidik di peringkat prasekolah di masa depan bagi meningkatkan kualiti pembelajarannya selaras dengan Dasar Pendidikan Negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah menyediakan guru terlatih ini boleh mengurangkan masalah kurangnya penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira dalam kalangan pelajar.
"Kita berpendapat, lagi awal untuk kita mulakan pendidikan anak-anak kita, lagi baik. Maka guru yang kita hendak sediakan mestilah guru yang terlatih, bukan guru yang berkelulusan rendah,” katanya ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di Dewan Rakyat hari ini.
Tan meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan mempertingkatkan kualiti pendidikan prasekolah dan bagaimana semua kelas tadika yang dianjur oleh kerajaan dan swasta dapat dipantau kurikulumnya serta perbezaan antara prasekolah dengan Program Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (Permata).
Muhyiddin berkata pelajar prasekolah lebih mudah menerima ilmu pengetahuan ketika muda, dan dengan sebab itu, kementerian memberikan perhatian kepada peringkat umur ini terutama dalam usaha mempertingkatkan penguasaan 3M, yang merupakan sebahagian daripada bidang keberhasilan utama (NKRA) Kementerian Pelajaran.